KUALA LUMPUR, Mac (Bernama) -- Para audiens dan penggiat industri
hiburan tanah air sering bertanya sama ada industri filem Malaysia mampu
menempuh kejayaan di persada antarabangsa.
Industri filem tempatan yang telah menyaksikan banyak pencapaian sejak
filem Melayu pertama 'Laila Majnun' diterbitkan 80 tahun yang lepas kini
dikatakan berada di ambang era kelahiran semula.
Pengarah Promosi dan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
(Finas) Abd Khalid Maulod berkata, industri filem tempatan kini
menyaksikan banyak perkembangan yang memberangsangkan.
Bukan sahaja bilangan filem terbitan karyawan Malaysia terus meningkat tetapi juga pengiktirafan bagi mereka, jelas beliau.
Sejumlah 73 buah filem ditayangkan di pawagam sepanjang tahun lepas
berbanding 49 filem pada 2011, 39 filem (2010) dan 27 filem (2009).
Selain daripada angka ini, pengiktirafan antarabangsa bagi mereka juga
menunjukkan peningkatan daripada segi kualiti.
BUNOHAN FILEM TERBAIK FFM 25
Sebagai contoh, 'Bunohan', filem terbaik pada Festival Filem Malaysia
ke-25 (FFM 25) awal bulan ini, berjaya meraih beberapa pengiktirafan
antarabangsa sehingga kini.
Pada Oktober 2012 filem berkenaan muncul sebagai satu-satunya filem
Malaysia daripada 71 buah filem antarabangsa yang tersenarai dalam
Anugerah Academy ke-85 bagi kategori Filem Bahasa Asing.
'Bunohan' juga pernah memenangi anugerah Golden Hanoman pada Festival
Filem Asia Jogjakarta (JAFF) di Indonesia dan Anugerah NETPAC (Rangkaian
untuk Promosi Pawagam Asia) pada Festival Filem Taipei Golden Horse
2011.
'Bunohan' turut menyaksikan tayangan perdana semasa Festival Filem
Antarabangsa Toronto dan Taipei Golden Horse, dan dipilih oleh Universal
Pictures untuk diedarkan di beberapa negara termasuk United Kingdom,
Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.
Filem 'Bunohan' dipertandingkan pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP)
ke-55 bersama empat filem lain iaitu Ombak Rindu, Songlap, Nur Kasih
The Movie dan Hikayat Merong Mahawangsa.
Bunohan dibintangi Faizal Hussein, yang memenangi anugerah Pelakon
Lelaki Terbaik pada FFM 25. Jalan ceritanya yang dilakarkan di sebuah
bandar terpencil berdekatan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan
mengisahkan kasih sayang yang hilang antara tiga adik-beradik lelaki.
HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA
Sebelum 'Bunohan', filem terbaik FFM 24 Hikayat Merong Mahawangsa yang
mengisahkan seorang nakhoda dan pahlawan dari keturunan Iskandar
Zulkarnain turut mendapat perhatian antarabangsa.
Dalam filem itu angkatan Rom, yang sedang membaikpulih kapal mereka di
Goa, India, meminta bantuan Merong Mahawangsa untuk mengiringi Putera
Rom ke Langkasuka untuk berkahwin dengan Puteri China dari dinasti Han.
Misi berkenaan penuh dengan liku dan ranjau.
Merong Mahawangsa ditayangkan di lebih 40 negara dan menerima ulasan yang baik.
Begitu juga filem 'KL Gangster' arahan Syamsul Yusof, menyaksikan
kutipan 'box office' RM12 juta dan mendapat pujian para penggemar filem
Melayu Singapura ketika ditayangkan sempena Malam Gala Seri Temasek II
pada Februari lepas.
MENGANTARABANGSAKAN FILEM MALAYSIA
Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan dalam ucapan beliau pada malam
gala itu berkata satu daripada misi utama Finas adalah mengangkat
keberkesanan serta daya saing industri filem dan kandungan kreatif
negara.
"Matlamat ini dapat memperkukuhkan lagi landasan bagi hala tuju
industri perfileman nasional ke arah lebih gemilang. Dengan kreativiti
dan inovasi menjadi ciri yang konsisten dalam penerbitan kandungan,
hasil yang bermutu tinggi akan menjadi kenyataan dan menyumbang kepada
kecemerlangan industri perfileman tempatan," tambah beliau.
Malam Gala Seri Temasek adalah satu daripada medan berkesan untuk Finas membawa filem Malaysia ke arena antarabangsa.
"Satu lagi perkara yang ingin ditekankan di sini adalah sejajar dengan
konsep 1Malaysia, Finas juga mengambil berat pembangunan filem-filem
Cina dan India di Malaysia," jelas Md Afendi.
MALAYSIA DALAM ANUGERAH SERI TEMASEK
Md Afendi menyifatkan penganjuran malam gala yang sudah dua kali
diadakan di Singapura sememangnya berkait rapat dengan sejarah
perkembangan industri perfileman Melayu yang bermula di Studio Jalan
Ampas di republik berkenaan.
"Di Studio Jalan Ampas lahirlah bakat seni lagenda negara seperti
Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Nordin Ahmad. Ini seterusnya
mencetuskan kelahiran industri perfileman Malaysia," katanya.
Malam gala itu dianjurkan buat kali pertama pada 2011 di Singapura bagi mengiktiraf penggiat seni dari Malaysia dan Singapura.
Sambutan menggalakkan pada penganjurannya yang pertama, mendorong
penganjuran Malam Gala Seri Temasek yang kedua pada bulan lepas dengan
melibatkan penggiat seni dari Indonesia bagi mengukuhkan industri seni
Asia Tenggara.
Pada Malam Gala Seri Temasek II bulan lepas pelakon lagenda kelahiran
Malaysia Allahyarham Nordin Ahmad diberi Anugerah Lagenda Dalam Kenangan
Seri Temasek.
Sementara empat penggiat seni Malaysia iaitu biduanita Datuk Sharifah
Aini, pelakon veteran Latifah Omar, tokoh muzik Datuk Dr Ahmad Nawab dan
pelakon veteran yang juga kakak ipar kepada Seniman Agung Tan Sri
P.Ramlee iaitu Mariani Ismail menerima Anugerah Gemilang Seri Temasek.