Tuesday, 9 September 2014

Industri Filem Malaysia Menunjukkan Kemajuan?

KUALA LUMPUR, Mac (Bernama) -- Para audiens dan penggiat industri hiburan tanah air sering bertanya sama ada industri filem Malaysia mampu menempuh kejayaan di persada antarabangsa.

Industri filem tempatan yang telah menyaksikan banyak pencapaian sejak filem Melayu pertama 'Laila Majnun' diterbitkan 80 tahun yang lepas kini dikatakan berada di ambang era kelahiran semula.

Pengarah Promosi dan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Abd Khalid Maulod berkata, industri filem tempatan kini menyaksikan banyak perkembangan yang memberangsangkan.

Bukan sahaja bilangan filem terbitan karyawan Malaysia terus meningkat tetapi juga pengiktirafan bagi mereka, jelas beliau.

Sejumlah 73 buah filem ditayangkan di pawagam sepanjang tahun lepas berbanding 49 filem pada 2011, 39 filem (2010) dan 27 filem (2009). Selain daripada angka ini, pengiktirafan antarabangsa bagi mereka juga menunjukkan peningkatan daripada segi kualiti.

BUNOHAN FILEM TERBAIK FFM 25

Sebagai contoh, 'Bunohan', filem terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM 25) awal bulan ini, berjaya meraih beberapa pengiktirafan antarabangsa sehingga kini.

Pada Oktober 2012 filem berkenaan muncul sebagai satu-satunya filem Malaysia daripada 71 buah filem antarabangsa yang tersenarai dalam Anugerah Academy ke-85 bagi kategori Filem Bahasa Asing.

'Bunohan' juga pernah memenangi anugerah Golden Hanoman pada Festival Filem Asia Jogjakarta (JAFF) di Indonesia dan Anugerah NETPAC (Rangkaian untuk Promosi Pawagam Asia) pada Festival Filem Taipei Golden Horse 2011.

'Bunohan' turut menyaksikan tayangan perdana semasa Festival Filem Antarabangsa Toronto dan Taipei Golden Horse, dan dipilih oleh Universal Pictures untuk diedarkan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.

Filem 'Bunohan' dipertandingkan pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-55 bersama empat filem lain iaitu Ombak Rindu, Songlap, Nur Kasih The Movie dan Hikayat Merong Mahawangsa.

Bunohan dibintangi Faizal Hussein, yang memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM 25. Jalan ceritanya yang dilakarkan di sebuah bandar terpencil berdekatan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan mengisahkan kasih sayang yang hilang antara tiga adik-beradik lelaki.

HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA

Sebelum 'Bunohan', filem terbaik FFM 24 Hikayat Merong Mahawangsa yang mengisahkan seorang nakhoda dan pahlawan dari keturunan Iskandar Zulkarnain turut mendapat perhatian antarabangsa.

Dalam filem itu angkatan Rom, yang sedang membaikpulih kapal mereka di Goa, India, meminta bantuan Merong Mahawangsa untuk mengiringi Putera Rom ke Langkasuka untuk berkahwin dengan Puteri China dari dinasti Han. Misi berkenaan penuh dengan liku dan ranjau.

Merong Mahawangsa ditayangkan di lebih 40 negara dan menerima ulasan yang baik.

Begitu juga filem 'KL Gangster' arahan Syamsul Yusof, menyaksikan kutipan 'box office' RM12 juta dan mendapat pujian para penggemar filem Melayu Singapura ketika ditayangkan sempena Malam Gala Seri Temasek II pada Februari lepas.

MENGANTARABANGSAKAN FILEM MALAYSIA

Pengerusi Finas, Datuk Md Afendi Hamdan dalam ucapan beliau pada malam gala itu berkata satu daripada misi utama Finas adalah mengangkat keberkesanan serta daya saing industri filem dan kandungan kreatif negara.

"Matlamat ini dapat memperkukuhkan lagi landasan bagi hala tuju industri perfileman nasional ke arah lebih gemilang. Dengan kreativiti dan inovasi menjadi ciri yang konsisten dalam penerbitan kandungan, hasil yang bermutu tinggi akan menjadi kenyataan dan menyumbang kepada kecemerlangan industri perfileman tempatan," tambah beliau.

Malam Gala Seri Temasek adalah satu daripada medan berkesan untuk Finas membawa filem Malaysia ke arena antarabangsa.

"Satu lagi perkara yang ingin ditekankan di sini adalah sejajar dengan konsep 1Malaysia, Finas juga mengambil berat pembangunan filem-filem Cina dan India di Malaysia," jelas Md Afendi.

MALAYSIA DALAM ANUGERAH SERI TEMASEK

Md Afendi menyifatkan penganjuran malam gala yang sudah dua kali diadakan di Singapura sememangnya berkait rapat dengan sejarah perkembangan industri perfileman Melayu yang bermula di Studio Jalan Ampas di republik berkenaan.

"Di Studio Jalan Ampas lahirlah bakat seni lagenda negara seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Nordin Ahmad. Ini seterusnya mencetuskan kelahiran industri perfileman Malaysia," katanya.

Malam gala itu dianjurkan buat kali pertama pada 2011 di Singapura bagi mengiktiraf penggiat seni dari Malaysia dan Singapura.

Sambutan menggalakkan pada penganjurannya yang pertama, mendorong penganjuran Malam Gala Seri Temasek yang kedua pada bulan lepas dengan melibatkan penggiat seni dari Indonesia bagi mengukuhkan industri seni Asia Tenggara.

Pada Malam Gala Seri Temasek II bulan lepas pelakon lagenda kelahiran Malaysia Allahyarham Nordin Ahmad diberi Anugerah Lagenda Dalam Kenangan Seri Temasek.

Sementara empat penggiat seni Malaysia iaitu biduanita Datuk Sharifah Aini, pelakon veteran Latifah Omar, tokoh muzik Datuk Dr Ahmad Nawab dan pelakon veteran yang juga kakak ipar kepada Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee iaitu Mariani Ismail menerima Anugerah Gemilang Seri Temasek.

No comments:

Post a Comment